Saturday, May 15, 2010

Ibrah Yusuf Mendepani Biusan Cinta

Ko jangan banyak cakap. Ko tak kena lagi. Kalau ko kena penangan cinta ni, baru ko tahu!” tempelak Zack apabila menerima teguran Azim.

“Habis kamu nak tunggu mayat dalam kubur tegur kamu ke?” Azim menamatkan perbualan. Bosan.

Memang susah mahu bercakap dengan orang yang sedang asyik cinta. Fikirannya lumpuh dan seluruh dunia dituduhnya bodoh kerana tidak memahami apa yang sedang dialami.

“Cinta itu kurap, makin digaru makin sedap!” rengek seekor buaya di kafe kampus di hadapan kekasih pujaannya.

Cakap mereka jadi tidak tentu hala. Nasihat sesiapa pun semuanya ditepis mudah. Mereka mabuk cinta. Mereka dibius cinta.

CINTA ZULAIKHA JADI IKTIBAR

Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah pun mengajar manusia menguruskan cinta. Ia bagai minyak petrol. Gunanya untuk menjana tenaga kerja. Kuasanya hebat. Tetapi cinta itu mudah terbakar. Mudah menyambar apabila tersentuh. Justeru manusia sudah awal-awal lagi diberitahu, berhati-hati dengan cinta.

Tetapi manusia sering lupa.

Mungkin kerana kurang kasih sayang dalam kehidupan, ramai yang tidak menyempat-nyempat mahu bercinta. Dan dengan fikiran yang masih seputik jagung, bersama nafsu yang panas membara, ramai yang dibius cinta.

Soal dibius cinta ini bukanlah soal baru. Ia sudah pernah berlaku, malah sudah pun mempamerkan segala bencana dan keaiban-keaiban yang datang mengiringinya. Dibius cinta, adalah bencana yang menimpa wanita bergelar * Zulaikha.

s0120

Gambar hiasan

Dia mabuk cinta bukan dengan al-Aziz suaminya. Tetapi keberahiannya tumpah kepada anak muda yang dijaganya semenjak kecil. Anak angkatnya sendiri. Bernama Yusuf. Nabi Allah Yusuf ‘alayhi al-Salaam. Keinginannya kepada Yusuf menyebabkan wanita itu sanggup untuk melakukan apa sahaja. Diperangkapnya Yusuf hingga terfitnah anak muda yang suci bersih itu.

“Apa yang engkau tahu pasal cinta?” bentak seorang perempuan mabuk cinta apabila ditegur rakannya.

Mungkin soalan ini jua yang berlegar di benak Zulaikha.

“Apa yang orang ramai tahu tentang perasaanku terhadap Yusuf? Mereka mengata, aku merasa. Aku yang menanggungnya!” begitulah mungkin bayangan kita tentang kata-kata Zulaikha semasa kemahuannya kepada Yusuf menjadi buah mulut orang ramai.

Suaminya sudah memberi nasihat. Al-Aziz memberitahu Yusuf supaya melupakan kejadian baju terkoyak di kamar itu dan buat sang isteri, bertaubatlah kepada Allah…

12_29

“Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. dan engkau (wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu. Sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!” [Yusuf 12: 29]

Bukankah ini nasihat yang sama kita ulang-ulangkan kepada rakan-rakan yang mabuk cinta? Bukan tidak jelas apa yang diberitakan. Bukan tidak berhikmah apa yang dinasihatkan. Namun manusia yang dibius cinta, sudah hilang pertimbangan fikirannya.

Zulaikha lebih nekad.

Dikumpulnya teman-teman yang mengata. Mahu dibuktikan betapa cintanya bukan sebarangan. Kamu yang tidak kena, tidak memahaminya.

ZULAIKHA DIBIUS CINTA

12_30

“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, Sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; Sesungguhnya Kami melihatnya berada di dalam kesesatan yang nyata!” [Yusuf 12: 30]

Qad syaghafaha hubba!

Itulah ungkapan al-Quran tentang manusia yang dibius cinta. Keinginannya yang membuta tuli itu menyelinap masuk ke seluruh tubuh hingga terangkat segala rasa malu yang selama ini membenteng diri dari perbuatan yang mengundang kerendahan.

Inilah yang sedang dialami oleh teman-teman kita yang ghairah dengan cinta. Janganlah kita berpura-pura hairan dengan kerenah mereka. Hairan dengan ilmu yang penuh di dada, hairan dengan janggut sejemput penghias dagu, atau hairan dengan tudung labuh yang membalut tubuh. Dengan cinta sebegini, tudung tidak bertudung, janggut tidak berjanggut, mereka sudah lumpuh dari alam realiti.

Justeru Allah Subhanahu memberitahu kita, bahawa golongan yang seperti ini:

“…Sesungguhnya Kami melihatnya berada di dalam kesesatan yang nyata!” [Yusuf 12: 30]

Cinta yang bukan sekadar buta.

Cinta yang bukan sekadar membius kewarasan minda.

Tetapi cinta yang akhirnya mengheret manusia ke dalam kesesatan yang nyata.

Kesasatan itu menjadikan Zulaikha gila. Dia mahu membuktikan bahawa dalam cintanya kepada Yusuf, bukan dirinya yang bersalah. Tetapi Yusuf dan rupa parasanya, serta panahan cinta itu yang menggilakannya. Dikumpulkan teman-teman yang mengata itu tadi, untuk mereka pula diuji sihir cinta memandang Yusuf.

12_31

“Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Lalu pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!” [Yusuf 12: 31]

s0216

Gambar hiasan

Teman-teman yang mengata itu tadi juga terpukau. Bukan sahaja mata mereka tidak dapat lari dari memandang Yusuf, malah biusan cinta itu menyebabkan mereka melukakan tangan tanpa sedar. Benar-benar dibius cinta. Justeru berhasillah perangkap Zulaikha. Bahawa memang selama ini mereka yang mengata itu berkata demikian kerana mereka tidak mengetahui bahana cinta. “Kini tahulah mereka apa yang menyeksa diriku selama ini” demikian hati isteri al-Aziz itu berdetik.

12_32“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; Dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.” [Yusuf 12: 32]

SULITNYA MENYEDARKAN DIA

Bius itu suatu kelumpuhan. Resapannya merebak ke seluruh tubuh badan. Manusia yang dibius cinta tidak lut dengan cakap-cakap biasa manusia di sekitarnya. Malah debat-debat antara kita dan dia mungkin menambahkan lagi jauhnya diri dia dari kebenaran.

Apa yang perlu adalah sebuah keteguhan.

Bagi mereka yang bersungguh memegang iman, ketahuilah bahawa mujahadahmu mencegah diri dari biusan cinta, harganya boleh sampai ke nilai sebuah PENJARA. Itulah pilihan Yusuf. Tidak tunduk kepada cinta, tidak tunduk kepada paksa, tidak tunduk kepada suasana. Yusuf meminta kepada Allah, andai penjara itu bisa menyelamatkan diri baginda dari dosa dan maksiat biusan cinta, PENJARA itulah mohon dikurniakan sebagai jalan keluarnya.

12_33

“Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan tergolonglah aku dari kalangan kaum yang jahil” [Yusuf 12: 33]

Ya… dalam mujahadah kita menjauhkan diri dari cinta dosa yang penuh dusta itu, apakah kita sudah menguatkan hati sekukuh pendirian Yusuf?

NASIHAT BUAT ADIK-ADIKKU

Wahai adik-adik remaja sekalian, sesungguhnya cinta itu BESAR. Jangan diremehkan cinta. Gunanya besar untuk kebaikan. Namun salah gunanya juga besar mengundang bencana kemusnahan. Hari ini, bukan sekadar Zulaikha dan wanita bangsawan itu yang terkena biusan cinta, malah segala yang berada di sekitarmu, merangsang diri untuk tunduk kepada desakan trend semasa ini. Jalan untuk cinta dosa dan zina terbentang luas, berbanding jalan taat yang sulit dan penuh liku.

Justeru penjarakanlah dirimu dengan semangat Yusuf. Peliharalah kesucian dirimu dengan kesungguhanmu berpegang dengan tali Allah. Janganlah sekadar berdolak dalih secebis dua, sudah dikatakan telah berusaha. Sedangkan Yusuf merengkok bertahun di penjara, agar tidak menjadi mangsa BIUSAN CINTA.

Dan bagi mereka yang terus mabuk dibius cinta, tidak mudah bagi kita untuk mencapai mereka. Tidak mudah untuk berkomunikasi dengan mereka. Berusahalah sedaya yang kamu ada, dan berikan masa untuk menjadi sebahagian daripada penawarnya. Zulaikha itu mengambil tempoh yang panjang untuk akhirnya tersedar, bahawa beliau telah lama tersesat di dalam dosa, kerana membiarkan diri dibius cinta. Kebenaran Yusuf akhirnya diperakui, Zulaikha bertaubat kepada Allah… akhir sebuah perjalanan yang panjang, seperti yang terungkap dalam firman-Nya di dalam Surah Yusuf ayat 51.

Berhati-hatilah dalam permainan cinta.

Kalian tidak tahu apa yang menanti di hadapan sana.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

* Nama Zulaikha tidak mempunyai sandaran terhadap sumber al-Quran mahu pun Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Beliau hanya digelar sebagai isteri al-’Aziz (imra’ah al-’Aziz) Nama itu diguna pakai sekadar untuk memudahkan penceritaan. Harap maklum.

Doa elak zina

“Ustaz, di manakah saya boleh mencari kekuatan untuk menolak zina?” seorang anak muda bertanya kepada saya.

“Carilah ia di dalam Solat. Di dalam doa” saya membalas email yang dikirimnya.

Anak muda itu terasa hampa. Barangkali beliau kecewa kerana saya memberitahunya apa yang dia sudah tahu.

Solat.

Doa.

Sudah berapa kali dia bersolat dan berdoa, tetapi kekuatan yang dicari tidak pernah ada. Seperti Allah tidak menjawab permintaannya. Solat yang hampa. Doa yang terbang dibawa angin masa.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri memberi jaminan bahawa Solat itu mencegah manusia daripada kemungkaran, terutamanya zina? Itu yang disebut di dalam al-Quran:

“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Seandainya solat anak muda itu dan kita semua tidak mampu mencegah diri daripada kejahatan, terutamanya Zina, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang kita kerjakan. Bukan sahaja daripada aspek cukup Syarat atau sah tidak sahnya solat itu, malah intipati dan maknanya.

Ya, sejauh mana kita memaksudkan apa yang kita minta?

Sampaikah kepada permintaan seorang anak muda bernama Yusuf?

TELADAN MUJAHADAH YUSUF

Imra’ah al’Aziz yang dikenali sebagai ‘Zulaikha’ itu, tidak pernah berputus asa. Di satu ketika dia menafikan dirinya sebagai orang yang memaksa zina ke atas Yusuf. Tetapi setelah kejadian baju Yusuf terkoyak akibat kejadian sebelumnya (Yusuf 12: 25) tersebar ke seluruh kota (Yusuf 12:30), Zulaikha menjadi liar. Malunya hilang, malah semakin mengganas pada tindakannya untuk mendapatkan Yusuf. Wanita-wanita bangsawan temannya dihimpunkan. Mereka dijamu makan. Setiap tangan diberikan pisau untuk memotong dan Zulakhai memaksa Yusuf tampil ke khalayak menampakkan diri.

Daripada Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Yusuf telah diberikan separuh daripada kecantikan diri” [Al-Bukhari no. 7517 dan Muslim no. 162]

Separuh kecantikan diberikan kepada Yusuf.

Separuh lagi diagihkan kepada seluruh manusia lain!

Giliran mereka pula dibius cinta. Tangan tidak terasa bahawa pisau tidak lagi memotong makanan. Jari-jari mereka luka dipotong pisau kerana panahan rupa paras Yusuf. Zulaikha mengeluarkan ‘buah’ manusia yang mabuk cinta. Mereka belum kena lagi. Sekarang tahukah mereka apa yang dihadapinya saban hari selama ini?

“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan (Yusuf) akan menjadi daripada orang-orang yang hina.“ [Yusuf 12: 32]

Kini Zulaikha tidak lagi sendirian. Kemahuannya diakui oleh seluruh wanita yang melihat susuk wajah Yusuf. Zulaikha berjaya menjustifikasikan kehendak nafsunya. Maksiat bukan lagi maksiat. Kini maksiat adalah suatu mangsa keadaan!

Malah dayusnya al-’Aziz dan betapa berkuasanya Zulaikha sebagai First Lady, dia bebas menentukan siapakah yang patut dihumban ke penjara dan siapa yang tidak. Andai Yusuf enggan menerima ajakan Zulaikha, harga yang perlu dibayar adalah PENJARA.

Apakah tekanan yang Yusuf hadapi?

Anak muda, peluang ada, kecenderungan bisa terjadi, menolaknya pula bererti merengkuk di penjara. Sepadankah tekanan itu dengan apa yang kalian sebagai anak muda, hadapi berkaitan zina?

Atau kalian dengan sengaja gemar berkelakuan lemah diri? Justeru mudah memberi alasan, bahawa keadaan adalah ‘pihak’ yang patut dipersalahkan?

Sesungguhnya Yusuf mendengar ugutan itu. Beliau tahu di hadapannya hanya dua. Zina atau penjara.

MENCARI KEKUATAN DENGAN SOLAT DAN DOA

Yusuf tinggal sendiri.

Al-’Aziz sebagai bapa angkatnya, suami kepada Zulaikha dan Menteri Utama negara Mesir, tidak berperanan untuk mencegah hal ini. Beliau berada di kemuncak dayus.

Tiada tempat lain untuk Yusuf mencari kekuatan melainkan dengan Solat dan Doa.

Yusuf (merayu kepada Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku daripada golongan orang jahil yang tidak mengamalkan ilmunya” [Yusuf 12: 33]

Doa Yusuf itu sarat dengan makna. Yusuf benar-benar menyatakan kebergantungannya kepada Allah. Sesungguhnya tanpa bantuan Dia, Yusuf lemah untuk mendepani tipu daya wanita-wanita jahat itu. Sesungguhnya doa tidak boleh datang daripada hati yang sombong. Meminta sesuatu daripada Allah yang dirinya tidak berasa kepada keperluannya. Jika Allah beri, dia terima. Jika Allah tidak beri, dia akan buat sendiri. Sombongnya hati manusia yang meminta dan berdoa tidak dengan bahasa seorang hamba.

Yusuf juga menunjukkan kepada kita kuasa sebuah doa. Doa menguji sama ada kita benar-benar mahu kepada apa yang diminta, atau kita memintanya tanpa kesungguhan dan makna. Doa akan membunuh sifat hipokrit bahawa mulut meminta sesuatu, namun hati tidak bersungguh memaksudkannya.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi, dihasankan oleh Sheikh al-Albani)

ENGKAU DAN DOAMU


Dirimu minta daripada Allah agar dihindarkan daripada zina. Namun sejauh mana hatimu membenci zina? Sejauh mana engkau mahu menjauhkan diri daripadanya? Adakah mulut meminta perlindungan, ketika hati dibiarkan melayan kecenderungan?

Doa mengajar kita memaksudkan apa yang kita minta. Supaya dengan doa itu, akhirnya hanya dirinya dan Allah yang benar-benar tahu, sejauh mana permintaan itu disungguhkan.

“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu berdoa, maka hendaklah dia menekadkan apa yang diminta. Dan janganlah sekali-kali beliau berkata: Ya Allah jika Engkau mahu, berikanlah kepadaku apa yang kuminta. Sesungguhnya tiada suatu permintaan pun yang berat bagi Allah untuk menunaikannya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Doa menyaring hasrat hati.

Hanya hati yang berjaya membulatkan permintaan, bersih daripada rasa berbelah bagi antara mahu meninggalkan maksiat dengan adanya rasa sayang untuk apa yang berlaku itu tamat.

Yusuf benar-benar memaksudkannya. Dirinya semakin lemah dengan tekanan yang memuncak. Justeru jika satu-satunya cara untuk selamat adalah dengan merealisasikan ugutan Zulaikha, sesungguhnya penjara itu lebih disukainya berbanding zina yang membinasakan.

HATI YANG IKHLAS

Di sinilah titik IKHLAS pada hati yang meminta. Hati yang bersih daripada semua pihak selain daripada Allah.

“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [Yusuf 12: 34]

Allah Maha Mendengar permintaanmu.

Allah Maha Mendengar suara halus di dalam hati yang meminta itu dan sejauh mana permintaan itu dimaksudkan.

Allah juga Maha Mengetahui terhadap apa yang berlaku.

Zulaikha mahukan engkau terpenjara untuk membalas dendam.

Allah memberikan engkau penjara seperti yang diminta, bahawa penjara itu memiliki hikmah besar yang menanti, seperti yang berada di dalam Ilmu-Nya.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina” [Ghafir 40: 60]

Justeru anak muda, saat engkau mendepani kehidupan yang sangat mengajak kepada zina ini, perkukuhkanlah Solat dan Doamu untuk mencari ketulusan hati.

Hati yang benar-benar membenci zina dan kejahatan. Hati yang benar-benar menolaknya.

Seperti yang terungkap di dalam sebuah DOA!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG